Nabi Musa Alaihisalam telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wataala
supaya pergi ke bukit Sina untuk menerima wahyu. Semasa pemergian
Nabi Musa, segala urusan telah diserahkan kepada saudaranya Nabi Harun
a.s. Pemergian Nabi Musa mengambil masa selama 40 hari dan 40 malam.
Ketiadaan Nabi Musa a.s telah mengembirakan seorang musuh dalam
selimut bernama Samiri. Dia telah memunafaat masa ini untuk
menyesatkan kaum Nabi Musa yang selama ini telah bersusah payah
membentuk dan memberi keimanan kepada mereka. Sewaktu Nabi Musa
menyeberangi Laut Merah setelah pulang dari Mesir, kaki kuda yang
ditunggangi oleh Nabi Musa telah tenggelam dalam pasir di tengah lautan
yang kering itu. Dengan segala usaha yang dilakukan oleh Nabi Musa,
kuda yang ditungganginya tetap tidak mahu meneruskan perjalanan
untuk menyeberangi Laut Merah.
Kerana itu Allah telah mengutuskan malaikat Jibrail dengan menunggang
kuda betina. Melihat lawan sejenisnya kuda yang ditunggangi oleh Nabi
Musa telah mengejar kuda yang ditunggangi oleh Malaikat Jibrail. Samiri
yang ikut serta dalam rombongan tersebut telah mengambil segenggam
pasir bekas tapak kaki kuda yang ditunggangi oleh Jibrail dan
disimpannya untuk dijadikan azimat.
Apabila tiba masa yang sesuai iaitu semasa Nabi Musa bersunyi di Bukit
Sina, Samiri membuat patung seekor lembu daripada emas murni.
Setelah siap, patung itu diisinya dengan pasir yang di ambil dari bekas
tapak kaki kuda Jibrail. Dalam waktu yang singkat sahaja patung lembu
tersebut dapat mengeluarkan suara. Melihat keadaan tersebut, umat
Nabi Musa datang berduyun-duyun kepada Samiri. Samiri memimpin
mereka menyembah patung lembu yang menakjubkan itu.
Nabi Harun sangat marah setelah melihat umatnya menyembah berhala,
lalu berusaha mencegah umatnya daripada terus syirik kepada Allah
bahkan umatnya mengancam Nabi Harun untuk membunuhnya jika Nabi
Harun terus melarang mereka menyembah patung lembu tersebut. Nabi
Harun tidak dapat berbuat apa-apa untuk melarang mereka daripada
terus menyembah patung tersebut. Setelah kembali daripada Bukit Sina,
Nabi Musa sangat marah kerana melihat umatnya telah murtad.