GEORGE TOWN - Seorang remaja parah selepas ditetak dan dibelasah lebih 30 lelaki dalam satu kejadian di Kampung Baru, Air Itam, di sini malam tadi.

K.Sasikumar, 19, menerima lebih 100 jahitan dan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang akibat kejadian pukul 8 malam itu.

Jurucakap polis berkata kejadian dipercayai berlaku berikutan salah faham antara mangsa dan sekumpulan lelaki berkaitan beberapa perkara.

"Berikutan berang dengan mangsa, beberapa lelaki itu memanggil rakan-rakan mereka ke tempat kejadian sebelum menyerang Sasikumar menggunakan senjata tajam dan kayu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Kumpulan lelaki terbabit kemudian meninggalkan Sasikumar di tempat kejadian selepas mendapati mangsa cedera parah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan polis telah mengenal pasti kumpulan lelaki yang menyerang mangsa.

Beliau berkata usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan termasuk mengadakan 'Ops Tutup' secara besar-besaran.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya. -- Bernama