Monday, June 4, 2012

P'raya di musim haji hanya spekulasi PAS, kata Tun Abdullah



Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan andaian PAS bahawa pilihan raya umum akan diadakan ketika musim haji sebagai spekulasi PAS semata-mata.

Bekas Perdana Menteri itu berkata PAS hanya mahu meraih sokongan daripada pengundi beragama Islam.

"Perdana Menteri belum lagi mengumumkan tarikh untuk Pilihan Raya Umum ke-13, jadi bagaimana pula mereka (PAS) boleh tahu bila tarikh pilihan raya.

"Lagipun takkan Perdana Menteri nak buat seperti yang disebut itu, beliau (Najib) orang Islam juga," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan notebook kepada pemimpin masyarakat di dalam kawasan Parlimen Kepala Batas di Kepala Batas hari ini.

Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjangka PRU13 akan diadakan  September ini ketika musim haji bagi memastikan kejayaan BN.

Beliau mendakwa langkah itu dibuat berikutan ramai penyokong PAS akan mengerjakan haji pada masa itu dan Umno sebagai tunjang BN akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengelakkan isu sebenar berhubung pembersihan sistem pilihan raya sebelum proses mengundi diadakan.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut hadir pada majlis itu berkata kenyataan Abdul Hadi itu menunjukkan seolah-olah pengundi dari PAS sahaja yang menunaikan haji.

"Orang Umno pun menunaikan haji dan bukan hanya orang PAS sahaja pergi Mekah. Jadi janganlah buat kenyataan seolah-olah kita (Umno) boleh  menang kerana buat (mengundi) masa orang menunaikan ibadat haji.

"PAS juga dilihat seperti takut dengan kekuatan BN sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan seperti itu. Saya percaya ia (kenyataan itu) untuk tarik pengundi Islam membenci kerajaan," katanya yang juga Ketua Pemuda Umno Kepala Batas.

- Bernama
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...