NILAI – Tindakan seorang lelaki melintas landasan kereta api mengundang padah apabila maut dirempuh tren komuter di Batang Benar, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, V Ravichanthiran,  30, mati di tempat kejadian kerana parah di kepala dan anggota badan selepas dirempuh tren yang dalam perjalanan dari Batang Benar ke Bangi.

Ceroboh kawasan landasan kereta api Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa seorang lelaki dilanggar tren  komuter.

“Siasatan awal   polis mendapati, mangsa telah menceroboh kawasan landasan kereta api dan dipercayai cuba melintasinya. “Mangsa dikatakan tidak perasan  sebuah komuter datang menyebabkan dirempuh tren berkenaan,” katanya semalam.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan daripada pemandu tren dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Sementara itu di Bahau, seorang warga emas maut dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan di hadapan Stesen Keretapi Bahau di Kilometer 1, Jalan Bahau-Rompin, kira-kira jam 10.20 malam kelmarin.

Mangsa, B Gurdit Singh, 66, dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang datang dari arah Mahsan menuju ke Taman Meranti. Ketua Polis Daerah, Muhd Sabri Muhamad berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat parah   i kepada dan anggota badan.

Menurutnya, mangsa yang teragak- agak untuk menyeberang jalan menyebabkan pemandu kereta tidak dapat memastikan sama ada warga emas terbabit mahu melintas atau tidak.

"Bagaimanapun, tiba-tiba mangsa melintas menyebabkan pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak dan merempuhnya. "Pemandu kereta terbabit membuat laporan polis mengenai kejadian ini di Balai Polis Bahau pada hari sama," katanya. Muhd Sabri  erkata, mayat  mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.