Aktivis pelajar, Khalid Ismath, yang didakwa menendang seorang anggota
polis trafik ketika perhimpunan BERSIH 3.0 akan menyaman akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! berhubung tuduhan tersebut.
Pada
sidang media petang ini, Khalid berkata, tindakan saman itu diambil
berikutan berita yang dipaparkan kedua-dua akhbar itu tidak benar.
"Saya kini sedang berbincang dengan peguam dan beberapa aktivis pelajar. Saya akan saman Utusan dan Kosmo! kerana memaparkan berita dan gambar saya.
"Berita
tersebut mencalarkan reputasi saya sebagai seorang mahasiswa dan
mengaibkan nama keluarga saya yang sebelum ini dikenali dengan keluarga
yang baik kerana mereka mengatakan saya ganas," katanya.
Turut
hadir pada sidang media itu Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia
(SMM), Safwan Anang dan Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini.
'Menteri kata bukan saya'
Khalid berkata, beliau rasa teraniaya apabila ditahan polis ekoran penyiaran gambar lelaki yang didakwa sebagai dirinya itu.
"Saya tak pernah pakai style
macam ini. Dan kalau orang yang waras, boleh tengok dengan jelas dari
segi gaya rambut, warna kulit dan sebagainya berbeza dengan saya.
"Saya
rasa teraniaya bila polis tiba-tiba menahan saya sedangkan saya datang
ke sana (balai polis) atas kerelaan untuk membantu polis. Nak buktikan
yang saya bukan pelaku dalam gambar itu," katanya.
Khalid juga
memaklumkan bahawa Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin
Abdullah sendiri memaklumkan di Twitter bahawa individu yang disiarkan
dalam akhbar milik Umno itu bukan dirinya.
"Dalam satu tweet , Saifuddin mengatakan, dia dapat info daripada seorang SB UiTM yang mengatakan imej gambar dalam akhbar itu bukan saya.
"Kerana menurutnya, SB sentiasa ada bersama mengikut saya," katanya lagi.
Thursday, May 10, 2012
0 Comments
Subscribe to:
Post Comments (Atom)